Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya di Selangor Darul Ehsan.
Ramadan yang berlalu membawa seribu satu makna kepada umat Islam yang taat.
Masing-masing mencari Lailatul Qadr dan melaksanakan pelbagai kebajikan dalam mengejar mardhatillah.
Seperti yang kita lihat dalam surah Fussilat ayat 53, umat Islam sentiasa diingati tanda-tanda kekuasaan Allah SWT dan mengajak kita untuk sentiasa berpaksikan kepada kebenaran dan keilmuan, terutama pada waktu kita mungkin terpesong ataupun terkeluar daripada landasan kebenaran untuk menjadi manusia baik dalam masyarakat.
Alhamdulillah saya melihat kemakmuran dan kesederhanaan malam-malam terakhir Ramadan di masjid-masjid seluruh Selangor.
Bagi menyambut kemenangan yang ditandai dengan kepulangan kembali kepada fitrah, yakni maksud sebenar Aidilfitri, marilah kita semua meneruskan kerja baik yang dibajai pada bulan mulia yang lepas seperti menyantuni golongan fakir dan anak yatim serta yang kurang berkemampuan.
Kesederhanaan ini harus kita teruskan dan ditampilkan bukan sahaja melalui tindakan kita, tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran kita agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa supaya dapat melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.
Manfaatkanlah sepenuhnya silaturahim dan ukhuwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama. Kebersamaan inilah yang harus kita pelihara di Selangor, lebih-lebih lagi pada detik terdapat kelompok yang ingin menimbulkan keraguan ataupun kegusaran dalam kalangan kita hanya untuk agenda peribadi mereka.
Alhamdulillah atas kejayaan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri sepanjang pentadbiran ini serta dalam tiga bulan pertama tahun ini, saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2024, yang memberikan satu bulan gaji kepada 21,736 penjawat-penjawat awam Negeri Selangor yang disalur pada 8 April bersamaan dengan 28 Ramadan 1445H.
Bukan itu sahaja, pentadbiran ini juga menginsafi peranan para guru seperti 4,350 guru-guru KAFA dengan Bantuan Mahabbah Ramadan sebanyak RM1,000 serta RM500 kepada 1,600 guru rakyat dengan implikasi kewangan sebanyak RM49.46 juta.
Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua. Saya memohon ampun dan maaf setulus ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik buat semua.
Taqaballallahu minna wa minkum.
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor
Gemersik takbir mengundang tiba,
Salam diutus tanda ingatan,
Syawal di nanti menjelang tiba,
Salam diutus tanda kemaafan
Dato’ Setia Haris Kasim,
Setiausaha Kerajaan Negeri
Sambutan Aidilfitri ini merupakan kemenangan dan ganjaran kepada mereka yang sabar dan taat beribadah sepanjang berada di madrasah Ramadan
Kareem
Dato’ Salim Soib @ Hamid,
Penasihat Undang-undang Negeri
Salam Aidilfitri. Semoga Ramadan menginsafkan kita untuk amal kesederhanaan dan perbelanjaan secara berhemah
Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin,
Pegawai Kewangan Negeri
Tinta Syawal
Lebaran pada tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran. Perayaan kemenangan selepas menjalani ibadah puasa juga menjadi medan untuk memperkukuh ikatan persaudaraan.
Kegembiraan ini dirai di seluruh negara, khususnya rakyat Selangor termasuk barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Selamat menyambut Aidilfitri. Saya berharap yang bercuti dapat saling berkunjung untuk merapatkan hubungan sesama kita sebagai masyarakat bertamadun dan bermadani
Lau Weng San
Speaker Dewan Negeri Selangor
Berakhir sudah Ramadan bermakna tiba Syawal membawa bahagia. Marilah kita sambut Syawal dengan gaya keyakinan, merayakan keindahan tradisi dan kepelbagaian budaya. Semoga setiap langkah kita diterangi sinar kasih sayang
Ng Sze Han
EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti
Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga perayaan kali ini disambut penuh kesyukuran. Sambutlah Syawal ini dengan penuh keinsafan dan kesederhanaan
Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur & Pertanian
Salam Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat. Marilah sama-sama kita menyambut ketibaan Syawal ini dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan
Borhan Aman Shah
EXCO Perumahan & Kebudayaan
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat. Semoga sambutan raya kali ini membawa kegembiraan, kebahagiaan dan keberkatan
Dato’ Ng Suee Lim
EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan
Raikanlah kedatangan Syawal dengan penuh gembira dan keinsafan. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh umat Islam di Selangor
Datuk Rizam Ismail EXCO Kemajuan Desa & Perpaduan
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Moga dikurniakan usia untuk kembali bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan. Didoakan kebahagiaan di samping keluarga tersayang
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/Exco24-500x383.jpg.webp)
Najwan Halimi
EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan
Saya ingin mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh muslimin dan muslimat serta seluruh warga Selangor meraikan bersama. Salam Aidilfitri dan salam kosong-kosong!
Jamaliah Jamaluddin
EXCO Kesihatan Awam & Alam Sekitar
Tangan dihulur maaf dipinta, erat hubungan sesama kita. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin
Papparaidu Veraman
EXCO Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan
Alhamdulillah, bulan madrasah penuh mulia melabuh tirainya. Semoga kita menjadi hamba lebih bertakwa kepada-Nya
Dr Mohammad Fahmi Ngah
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/Exco25-500x349.jpg.webp)
EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi
Moga Aidilfitri disambut penuh kesyukuran dan dapat kembali mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga dan kawan. Maaf zahir dan batin
Anfaal Saari
EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat