Pelbagai barangan asas dijual pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan mega barangan asas disasar manfaat 250,000 isi rumah

SHAH ALAM, 4 APRIL: Program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri yang bermula semalam hingga Ahad ini dijangka memanfaatkan 250,000 isi rumah, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras akan dijual pada harga subsidi melibatkan peruntukan sebanyak RM296,439.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Seramai 50,000 pengunjung dijangka berbelanja yang akan memanfaatkan 250,000 isi rumah. Selain itu, program ini turut melibatkan penyertaan 250 usahawan.

“Untuk Aidilfitri tahun ini, jualan mega akan dianjurkan di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah menyediakan kelengkapan raya,” katanya menerusi kenyataan.

Izham berkata sepanjang lima hari berlangsung, sebanyak 14,800 ekor ayam disediakan selain daging segar (6,100 kg) daging beku (2,000 kg) telur (9,400 papan), minyak (3,976 botol) dan beras (7,600 kampit).

“Ayam dijual RM10 seekor, daging segar (RM35/sekilo (kg) daging beku (RM10/kg), telur (RM10/sepapan), minyak masak (RM35/lima kg) dan beras (RM13/lima kg),” katanya.

Sempena Aidilfitri, jualan secara besar-besaran ini dianjur bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Tahun lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan jualan sama selama enam hari di 23 lokasi seluruh negeri dengan tawaran harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Orang ramai membeli ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Muhibbah Setia Alam pada 16 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Orang membeli barangan keperluan asas yang dijual murah sempena program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :