AGENDAJENAYAH

Kelindan lori cederakan adik tiri guna pisau berdepan penjara tiga tahun

TELUK INTAN, 12 APRIL: Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan adik tirinya menggunakan sebilah pisau, Isnin lepas.

L Thiyagaraj, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap L Dewi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Taman Muhibbah di sini, kira-kira 8 malam pada 8 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berdepan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Insp Noor Aisyah Mat Isa menawarkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa memandangkan dia dan mangsa tinggal serumah.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Faustina Francis yang mewakili Thiyagaraj merayu jaminan minimum dikenakan dengan alasan tertuduh sudah bercerai dan kini menanggung seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh berjumpa mangsa sehingga kes selesai, serta menetapkan 9 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

-BERNAMA


Pengarang :