EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) melakukan gimik pelancaran lot perindustrian eksklusif projek Taman Perindustrian Hijau (GRIP), Kota Puteri Crown City di DoubleTree by Hilton Shah Alam, i-City, Shah Alam pada 11 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerjasama negeri, pusat tingkat keyakinan pelabur, cipta peluang kerja

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat Mesra Projek setiap bulan bagi memangkinkan pelaburan di sektor pembuatan dan perkhidmatan.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata inisiatif kendalian Invest Selangor bertindak sebagai pemudah cara untuk kelulusan projek sekali gus mencipta ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Mesyuarat mengutamakan isu berkait pelaburan, perindustrian dan perdagangan melibatkan negeri serta pusat. Kita juga melihat proses pembangunan sesuatu kawasan berkait kelulusan, cadangan projek baharu, hal tanah serta infrastruktur.

“Kerjasama baik semua pihak berjaya menyelesaikan perkara dibangkitkan sekali gus membantu kelancaran operasi serta meningkatkan nilai pelaburan,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han menjelaskan bagi memastikan mesyuarat mencapai keputusan terbaik, pihaknya akan mengadakan lawatan tapak terlebih dahulu supaya semua isu dapat dibincang lebih teliti.

“Sekiranya masalah yang dibincang dalam mesyuarat menemui jalan buntu, ia akan dipanjangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan pentadbiran,” katanya.


Pengarang :