Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukan gambar suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 14 April 2024. Turut sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kes tembakan di KLIA: Polis sahkan suspek ditahan di Kelantan

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi semalam, ditahan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan di satu lokasi di daerah itu kira-kira pukul 3 petang tadi.

Katanya satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman atau Ketua Polis Negeri dalam masa terdekat berhubung penahanan suspek.

“Ya, saya sahkan tangkapan itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya. Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital, dalam keadaan stabil.

Polis sebelum ini berusaha mengesan Hafizul Harawi, 38, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :