Pemandangan dari atas Bukit Ketumbar, Cheras pada 29 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Klang, Banting catat kualiti udara tidak sihat takat 11 pagi

SHAH ALAM, 11 APRIL: Klang, Banting dan Cheras mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 11 pagi hari ini.

Laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Banting mencatatkan bacaan IPU 158, Klang (153) dan Cheras (155).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam, berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan semalam memaklumkan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) di Singapura mengesan titik panas di dalam dan luar negara.

Menurutnya, kawasan itu melibatkan dua titik panas di Sumatera, lapan titik panas di Kalimantan dan 12 titik panas dikesan di dalam negara, iaitu 11 di Pahang dan satu di Terengganu.

Sehubungan itu, JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta situasi jerebu negara.


Pengarang :