Pengarah Urusan Kumpulan Kusel Khairul Azmi Misran (kiri) menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada Tabung Palestin menerusi Persatuan Penyayang Salam (Salam Relief) pada 27 Mac 2024. Foto ihsan Kusel
AGENSISELANGOR

Kusel serah bantuan tunai santuni warga Gaza berbuka puasa

SHAH ALAM, 1 APRIL: Anak syarikat negeri Koridor Utiliti Selangor Sdn Bhd (Kusel) menyumbang RM5,000 kepada Tabung Palestin menerusi Persatuan Penyayang Salam (Salam Relief) pada 27 Mac.

Pengarah urusan kumpulannya berkata bantuan itu bagi menyantuni penduduk Gaza yang berpuasa dengan kesedihan tanpa ahli keluarga selain krisis makanan berikutan perang sejak Oktober tahun lalu.

“Justeru, atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan yang tinggi, Kusel berbesar hati menyalurkan sumbangan ke Tabung Palestin menerusi Salam Relief,” kata Khairul Azmi Misran dalam kenyataan.

Serahan sumbangan disempurnakan semasa majlis berbuka puasa Kusel untuk meraikan warga kerja dan ahli keluarga, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Salam Relief Halim Redzuan.

Sementara itu, Halim berkata agensi berkenaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Turki akan menyediakan 3,400 makanan panas sebagai juadah berbuka di Gaza bermula 1 hingga 7 April.

“Ia akan disediakan dengan IHH Humanitarian Relief Foundation yang mempunyai dapur pusat di Rafah. Justeru, sumbangan daripada Kusel akan disalurkan bagi menjayakan inisiatif tersebut,” katanya.

Salam Relief merupakan NGO yang aktif dalam menyalurkan bantuan kemanusian kepada golongan memerlukan, tidak kira di Malaysia mahupun antarabangsa.


Pengarang :