EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan Yayasan Telekom Malaysia (TM) Selangor kepada asnaf dan ibu tunggal DUN Seri Setia di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya pada 4 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lapor jika ada jualan stoking kalimah Allah, elak bertindak luar batasan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Tinjauan rawak di beberapa kedai serbaneka KK Mart dalam daerah Petaling dan Klang mendapati tiada lagi penjualan serta penyimpanan stok stoking berlabel “Allah”.

Berikutan itu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah mengingatkan orang ramai tidak bertindak di luar batasan undang-undang serta disaran terus peka serta memantau jika penjualan masih berlaku.

Beliau turut meminta masyarakat melaporkan segera kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri melalui pautan https://www.moha.gov.my/index.php/ms/kdn1/dir-kdn/146-bahagian-penguatkuasaan-dan-kawalan.

“Penjualan mana-mana bahan atau produk yang mempamerkan ayat al-Quran tanpa kelulusan pihak berkuasa boleh didakwa bawah Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

“(Hukuman meliputi) denda sehingga RM50,000 dan penjara lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Fahmi berkata Seksyen 298A Kanun Keseksaan juga melarang perlakuan menulis, bercakap, mempromosi, membantu, menganjur atau mengatur sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keharmonian.

Tegasnya, seksyen itu turut melarang perlakuan menyebabkan perpecahan atau perasaan permusuhan, benci-membenci atau berniat jahat, memudaratkan keharmonian atau perpaduan atas alasan agama.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Pengasas KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr KK Chai di Istana Negara.

Dalam sesi berkenaan, Chai memohon ampun dan kepada Baginda dan seluruh umat Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di tiga cawangan kedai serbaneka itu.

Sultan Ibrahim bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

Pada Mac, Chai dan isterinya Loh Siew Mui selaku pengarah diheret ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.


Pengarang :