Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melawat kaunter Padu Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Buaya, Banting pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 10 juta daftar Padu, pengesahan sistem dikeluar April ini

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Analisa data dan pengesahan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dijangka dapat dikeluarkan pertengahan April ini, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan di X, beliau berkata proses untuk pengemaskinian sistem Padu telah berakhir 11.59 malam tadi.

Pendaftaran dan kemas kini sistem Padu dilancarkan sejak 2 Januari lalu dan ditutup jam 11.59 malam, 31 Mac.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ditemui pemberita selepas melawat kaunter pendaftaran Padu di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Buaya, Banting pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Mengikut kenyataan itu, bagi mereka yang belum berkesempatan mendaftar pada tarikh tutup, maka data pentadbiran yang diterima daripada pelbagai agensi akan digunakan dahulu dalam proses penganalisaan yang dilaksanakan, lapor Berita Harian.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, 10.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar Padu yang mana jumlah itu merangkumi 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 21.96 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas.

Antara negeri tertinggi jumlah pendaftaran Padu ialah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan melepasi sasaran 50 peratus.

Dr Uzir ketika lawatan di Seksyen 22 Petaling Jaya semalam berkata, sejak sistem Padu dilancarkan 2 Januari lalu, sistem berkenaan terus berfungsi tanpa gangguan atau downtime biarpun berdepan aliran trafik pendaftaran tinggi.

Katanya, data yang disimpan dalam sistem Padu akan memudahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuat analisis dan bancian bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan selain membantu kerajaan memperkenalkan polisi yang sesuai dengan keperluan rakyat.


Pengarang :