Pemain MBSJ FC Intan Sarah (tengah) melepasi kawalan pemain FC Japan Malaysia ketika membantu pasukannya menang 15-0 dalam perlawanan keempat Liga Super Wanita di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 20 April. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Liga Super Wanita: MBSJ FC belasah FC Japan Malaysia 15-0, ulang rekod 2021

SHAH ALAM, 22 APRIL: MBSJ FC mengekalkan rekod tanpa kalah selepas membelasah FC Japan Malaysia, 15-0 dalam perlawanan keempat Liga Super Wanita di Arena MBSJ, Subang Jaya pada Sabtu.

Fatin Shahida muncul pemain terbaik perlawanan dengan lima gol bermula minit ke-15, 25, 42, 62 dan 70 diikuti empat gol Intan Sarah selepas Nurlyana Soberi memulakan pesta jaringan seawal minit keempat.

Steffi Sarge Kaur turut mencatat nama sebagai penjaring pendahulu kumpulan A itu dengan hatrik pada lima minit terakhir permainan serta dua gol Lee Xin-Yi pada minit ke-50 dan 56.

Kemenangan besar tersebut mengulangi rekod cemerlang MBSJ FC yang menewaskan Rhym Rovers dengan jumlah jaringan sama pada 2021.

MBPJ FC turut mencatat kemenangan bergaya 9-0 ke atas Sternen FC untuk kekal di tempat kedua dengan 10 mata. Tiga gol pada babak pertama diledak Nadia Roslan bermula minit ke-13, 25 dan 29.

Farahiyah turut cemerlang menghasilkan dua jaringan buat MBPJ FC diikuti satu gol masing-masing daripada Nurul Nuha, Malini dan Nur Nasuha.

Turut menang besar Selangor FC yang menewaskan FC Swat 5-0 dengan empat gol disumbang Najwa Irdina selepas Ameesha Danya membuka tirai jaringan sewal minit kedua.

Sementara itu, dua gol Kanchenjeet Kaur dan satu gol Dian Aqilah membantu SSS Leopard FC mengatasi SA United 3-0, sekali gus merampas kedudukan pendahulu kumpulan B daripada Perkemas FC.

Satu lagi perlawanan kumpulan sama menyaksikan Penang Real CJ mengutip tiga mata pertama musim ini menewaskan Galaxi Girls PJ 4-0.

 


Pengarang :