Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau kualiti air selepas mengesan aliran kekeruhan tinggi di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 19 April 2024. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

LUAS tindak pantas atasi aliran keruh di muka sauk loji, elak jejas pengguna

SHAH ALAM, 20 APRIL: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan kekeruhan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju, Kuala Lumpur, petang semalam.

LUAS memaklumkan susulan itu pihaknya melakukan henti tugas sementara di LRA berkenaan dan mengaktifkan bekalan air mentah terus dari Empangan Klang Gates bagi mengelakkan gangguan bekalan air.

“Sekitar jam 4 petang semalam kekeruhan melebihi 400 NTU (Unit Kekeruhan Nephelometric) telah dikesan di muka sauk LRA Wangsa Maju.

“Tiada sebarang kesan kepada pengguna berkaitan pembekalan air terawat susulan henti tugas sementara muka sauk berkenaan juga dilaporkan oleh pihak Air Selangor,” katanya di Facebook.

Menurut LUAS, hasil pemerhatian di lapangan mendapati masalah kekeruhan berpunca daripada hujan lebat dan hakisan tanah di Hutan Simpan Hulu Gombak yang turun ke Sungai Pasir.

Namun, katanya, LUAS akan menjalankan tindakan siasatan dan pemantauan susulan bagi mengesan punca lain yang berpotensi seperti aktiviti kerja tanah di hulu muka sauk.

“Siasatan lanjut LUAS dengan menyusuri Sungai Pasir mendapati ianya berpunca daripada Hutan Simpan Hulu Gombak yang disyaki berlakunya kejadian semulajadi hakisan tanah susulan kadar hujan yang tinggi,” katanya.


Pengarang :