Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bergambar bersama anak yatim selepas majlis sumbangan bubur lambuk dan duit raya di Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh pada 3 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MAIS peruntuk RM600,000, bantu 11,386 anak yatim seluruh Selangor

SHAH ALAM, 3 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana RM600,000 bagi menyantuni kebajikan 11,386 anak yatim seluruh Selangor tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dana disalurkan menerusi Baitulmal MAIS kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) iaitu anak syarikat MAIS bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak yatim sekitar Selangor yang berdaftar dengannya.

“Sebagai sebuah agensi Islam yang bertanggungjawab menyantuni anak yatim, MAIS berharap bantuan disumbang dapat dimanfaatkan pengurusan rumah anak yatim berdaftar di bawah YIDE.

“Ia juga diharap dapat memelihara kebajikan dan hal ehwal pengurusan anak yatim di Selangor,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis sumbangan duit raya, agihan fidyah Mais dan agihan bubur lambuk kepada 129 penghuni Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, di sini hari ini.

Sempena majlis itu turut disampaikan bantuan fidyah MAIS berupa pek makanan kering dengan nilai keseluruhan RM2,230 kepada penghuni rumah kebajikan berkenaan serta edaran 1,000 bekas bubur lambuk kepada rumah anak yatim sekitar.


Pengarang :