Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Malaysia kecam serangan udara ke atas bangunan konsulat Iran di Syria

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Malaysia mengecam tindakan menyasarkan bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria, yang mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi itu. Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang tercedera.

“Tindakan sengaja menyasarkan premis diplomatik ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik.

“Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati premis diplomatik sebagai kawasan mutlak bagi sesebuah negara. Insiden ini memberikan petanda bahawa perlunya dialog bagi meredakan konflik di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata Malaysia menekankan kepentingan penyiasatan menyeluruh dilakukan terhadap serangan itu dan menggesa semua pihak mengelakkan sebarang provokasi yang boleh meningkatkan ketegangan.

Pesawat perang Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan sebuah bangunan tambahan konsulat bersebelahan bangunan kedutaan utama, mengakibatkan kematian tujuh penasihat tentera pada Isnin, menurut laporan agensi berita Iran IRNA, memetik Kor Pengawal Revolusi Islam.

Duta Iran ke Syria, Hossein Akbari, yang berada di pejabatnya di kedutaan itu semasa serangan, mengesahkan bahawa pesawat perang F-35 Israel dari Dataran Tinggi Golan yang didudukinya, melancarkan enam peluru berpandu di bangunan itu.

– BERNAMA


Pengarang :