Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat dari Pakistan, Shehbaz Sharif pada 10 April 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Malaysia, Pakistan setuju perhebat hubungan perdagangan, pelaburan

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Malaysia dan Pakistan bersetuju untuk meneroka ruang memperhebat hubungan kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu dinyatakan oleh rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif yang menghubungi beliau menerusi panggilan telefon malam tadi.

“Menerusi perbualan telefon tersebut, kami senada mahu meneroka ruang untuk memperhebat hubungan Malaysia-Pakistan, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Mendoakan semoga hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus berkembang demi manfaat bersama, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Perdana Menteri hari ini.

Anwar berkata beliau juga menyambut baik cadangan Shehbaz untuk mengeskport daging halal dari negara itu ke Malaysia.

Selain itu, Anwar berkata turut dibincangkan dalam perbualan telefon tersebut adalah pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Gaza dan Afghanistan.

“PM (Perdana Menteri) Shehbaz juga memuji pendirian Malaysia terkait permasalahan di Palestin,” katanya.

Menurut beliau lagi, kedua-dua mereka juga menzahirkan harapan agar hubungan antara Malaysia dan Pakistan terus diperkukuh, dan Shehbaz mengulangi undangan untuk Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan secepat mungkin.

Kedua-dua pemimpin itu juga berbalas ucapan Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh umat Islam di kebanyakan negara termasuk Malaysia semalam.

– BERNAMA


Pengarang :