SHAH ALAM, 8 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengagihkan daging lembu kepada golongan memerlukan sekitar Gombak bagi meringkan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap penerima mendapat dua kg daging hasil sembelihan empat ekor lembu pada program Rewang Anak Muda anjuran Pemuda Gombak, kelmarin.
“Alhamdulillah, sebanyak lima ekor lembu disembelih, empat ekor untuk diagih kepada yang memerlukan manakala seekor lagi dimasak untuk program Moreh Perdana.
“Sebanyak 350 batang lemang turut dibakar untuk diagih kepada penerima serta dijadikan juadah untuk Moreh Perdana,” katanya di Facebook.
Memuji penganjuran berkenaan, ahli Parlimen Gombak berkata program berkenaan mampu memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan golongan muda bagi menghadapi cabaran masa hadapan.