Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Sepang di Pasar Awam Salak, Sepang pada 28 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pelihara kebersamaan, keharmonian terbina sekian lama

SHAH ALAM, 9 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat memelihara kebersamaan dan keharmonian yang terbina sejak sekian lama di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seruan itu bertepatan ketika ada kelompok yang ingin menimbulkan keraguan atau kegusaran untuk agenda beberapa individu.

“Alhamdulillah sepanjang Ramadan (ini) saya melihat kemakmuran, kebersamaan dan kesederhanaan malam-malam terakhir Ramadan di masjid di seluruh Selangor.

“Manfaatkanlah sepenuhnya silaturahim dan ukhuwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama,” katanya menerusi perutusan Aidilfitri.

Amirudin turut mengajak rakyat meneruskan amalan baik pada bulan mulia seperti menyantuni golongan fakir, anak yatim serta mereka kurang berkemampuan.

“Kesederhanaan ini harus kita teruskan dan bukan saja ditampilkan melalui tindakan tetapi menerusi akal budi dan fikiran agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa ke arah melahirkan generasi bermaruah dan berwawasan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa bermain bunga api bersama pengunjung sempena Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Selangor di Padang Awam Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 13 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau menambah berdasar prestasi pungutan hasil sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, Kerajaan Negeri memberi bantuan khas sebulan gaji kepada 21,736 penjawat awam yang disalurkan semalam.

“Pentadbiran ini juga memanjangkan insentif ini kepada 4,350 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dengan Bantuan Mahabbah Ramadan sebanyak RM1,000 serta RM500 kepada 1,600 guru rakyat bagi menghargai peranan mereka.

“Semua ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM49.46 juta bagi manfaat warga Selangor,” katanya.

Amirudin mewakili pihak Kerajaan Negeri turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua dan mendoakan perjalanan yang selamat di jalan raya.

Beliau juga memohon kemaafan setulus ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik kepada segenap lapisan masyarakat.


Pengarang :