Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan raya ketika program serahan sumbangan MBI DUN Hulu Klang di Dewan MPAJ AU2, Ampang Jaya pada 6 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor taja 36 individu tunai haji tahun ini

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kerajaan Negeri buat julung kalinya bakal membiayai kos menunaikan haji 36 individu tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program membabitkan sejumlah peruntukan dengan setiap individu menerima tajaan antara RM18,000 hingga RM30,000 seorang.

“Tahun ini kali pertama kita perkenalkan bantuan ini. Dalam masa sama kita kekalkan bantuan antara RM500 ke RM1,000 untuk setiap muassasah. Bezanya tahun ini kita pilih empat muassasah di setiap daerah untuk ditaja.

“Alhamdulillah rasanya tak ada lagi negeri yang beri bantuan seperti ini. Kita pilih mereka yang layak. Inilah sedikit sebanyak yang kita mampu laksanakan untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau berucap ketika majlis serahan sumbangan Aidilfitri Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 500 penduduk Hulu Kelang di sini hari ini.

Menerusi belanjawan tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta untuk skim Permohonan Insentif Haji Muassasah, meningkat RM1.5 juta berbanding tahun lalu.

Selain wang tunai, jemaah juga turut menerima kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.


Pengarang :