Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk Pangsapuri Sri Bahtera, Pulau Indah, Klang pada program Kongsi Barakah Ramadan bersama Komuniti Strata MBDK pada 3 April 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBDK santuni komuniti strata, agih sumbangan Aidilfitri

KLANG, 3 APRIL: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyantuni komuniti strata dengan mengagih bakul makanan serta wang tunai kepada penduduk Pangsapuri Sri Bahtera, Pulau Indah di sini hari ini.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan berkata 50 individu terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas menerima manfaat program itu.

“Buat julung kali kita adakan program bantuan ini babitkan pengurusan tertinggi dan ketua-ketua jabatan yang keseluruhannya seramai 22 individu.

“Kita berjaya mengumpul wang tunai RM10,000 dan diagihkan dalam bentuk bakul makanan dan sumbangan Aidilfitri,” katanya pada program Kongsi Barakah Ramadan bersama Komuniti Strata MBDK.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan bergambar bersama penduduk Pangsapuri Sri Bahtera, Pulau Indah, Klang pada program Kongsi Barakah Ramadan bersama Komuniti Strata MBDK pada 3 April 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Noraini menjelaskan program itu tercetus apabila Jabatan Pesuruhjaya Bangunan melawat pangsapuri kos rendah berkenaan bagi menggalak komuniti menubuh jawatankuasa penduduk.

“Daripada sini kita lihat ramai golongan sasaran memerlukan bantuan. Kita berharap dengan adanya sumbangan itu dapat meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada penduduk,” katanya.

Penerima bantuan, Siti Rohaya Mohd Ijab, 42, berterima kasih di atas keprihatinan MBDK memberikan sumbangan wang tunai dan keperluan harian khususnya menjelang Syawal.

“Menjelang Aidilfitri sudah pasti banyak gunakan wang untuk membeli keperluan dapur. Alhamdulillah dan terima kasih atas bantuan diberikan,” katanya.


Pengarang :