Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon menunjukkan aplikasi 3R Famili pada Majlis Pelancaran Karnival Kitar Semula Bersama Komuniti Petaling Jaya di Dewan Banquet, Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ seru komuniti muat turun aplikasi kitar semula

PETALING JAYA, 23 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyeru penduduk daerah itu memuat turun aplikasi 3R Famili.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata aplikasi itu adalah platform untuk memudah cara penduduk berkomunikasi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai kutipan kitar semula.

“Menerusi aplikasi ini ia memudahkan penduduk untuk tahu berhubung waktu kutipan kitar semula dilaksanakan MBPJ dan mereka juga boleh minta kutipan dibuat di tempat masing-masing.

“Kita juga menyeru ahli majlis untuk bersama membantu menguar-uarkan lagi untuk memuat turun aplikasi ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Karnival Kitar Semula Bersama Komuniti Petaling Jaya 2024 di Dewan Bankuet di sini semalam.

Mohamad Zahri turut menyeru orang awam menyalurkan aduan, cadangan atau permohonan menerusi sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBPJ.

“Mulai 1 Mac lalu, MBPJ akan menaik taraf sistem e-Aduan kepada SISPAA. Justeru, aplikasi Mobile a-Aduan MBPJ pula dihentikan buat seketika.

“Setakat ini di SISPAA kita menerima aduan berhubung kejadian tanah runtuh, hujan lebat, pokok tumbang, sampah dan anjing,” katanya.


Pengarang :