Insiden helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas ketika Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 pada 23 April 2024. Foto Facebook KPKT Malaysia
AGENDANASIONAL

Menteri: Laporan interim tragedi helikopter siap dalam tempoh dua minggu

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Laporan interim mengenai tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak semalam akan siap dalam tempoh dua minggu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata komitmen itu dinyatakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Mesyuarat hari ini bermula dengan perbincangan yang agak mendalam mengenai tragedi helikopter TLDM yang berlaku semalam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada 24 April 2024. Foto BERNAMA

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengutuskan takziah dan Menteri Pertahanan beri komitmen bahawa laporan interim akan disediakan dalam tempoh dua minggu manakala laporan penuh akan diterbitkan atau disediakan dalam tempoh sebulan dari sekarang,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata pengumuman bantuan kepada waris mangsa sebagaimana dipersetujui Jemaah Menteri dijangka dimaklumkan Mohamed Khaled hari ini.

“Saya pohon rakan-rakan media untuk rujuk kenyataan Menteri Pertahanan, Insya-Allah hari ini jika bukan petang ini,” katanya.

Dalam tragedi 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

– BERNAMA


Pengarang :