EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menyerahkan sumbangan kepada penerima ketika program serahan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 23 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Negeri belanja RM2.4 juta, ringan beban 700 keluarga OKU pada 2023

HULU SELANGOR, 23 APRIL: Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM2.4 juta untuk Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) pada tahun 2023, kata EXCO kebajikan.

Anfaal Saari berkata program berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk meringankan beban keluarga kepada kanak-kanak istimewa atau orang kurang upaya (OKU).

“Untuk tahun 2023, peruntukan asal disediakan Kerajaan Negeri sebanyak RM1 juta namun kita (EXCO kebajikan) memohon peruntukan tambahan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bersama penerima baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ketika program serahan Bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 23 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Peruntukan tambahan sejumlah RM1.4 juta diluluskan menjadikan jumlah keseluruhan RM2.4 juta untuk membantu 700 keluarga mempunyai kanak-kanak OKU berumur 18 tahun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sesi Serahan Bantuan ANIS di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Anfaal menjelaskan seramai enam penduduk Kuala Kubu Bharu menerima bantuan ANIS yang bernilai antara RM2,000 hingga RM5,000.

“Jenis bentuk bantuan adalah seperti pembelian makanan, alatan mesin, ubat dan yuran kelas terapi.

“Diharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga memandangkan kos perbelanjaan bagi pengurusan anak OKU di swasta agak tinggi,” katanya.


Pengarang :