SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 30 penghuni Rumah Kasih Harmoni (RKH) Paya Jaras mengadakan lawatan ke Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) hari ini.
Menurut pengarah projeknya, program anjuran pelajar semester lima Universiti Utara Malaysia bertujuan mendedahkan remaja berkenaan dengan dunia penyiaran.
Mohd Naim Abu Bakar berkata program Selangkah Ke Industri Kreatif itu juga bertujuan memupuk nilai kemasyarakatan dengan penggiat dunia media.
“Program ini memberi pengalaman baharu kepada anak-anak RKH terutama mengenai dunia media.
“Ini sekali gus memberi pendedahan awal kepada mereka terutama yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malayia mengenai bidang ini untuk diteroka sebagai kerjaya,” katanya.
Dalam lawatan berkenaan, pelajar turut mendengar taklimat serta penerangan berhubung dunia media yang disampaikan Pengarang Kumpulan Media Selangor Fathi Aris Omar serta penasihat khas Selangor TV Izwan Azir Salleh.
Mereka juga dibawa melihat proses membaca berita malah diberi peluang berbuat demikian selain didedahkan dengan peralatan yang digunakan dalam bidang penyiaran.