Seramai 380 orang bakal jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 7 Julai 2022 selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penjawat awam, keluarga dakwa rugi lebih RM31,000 terpedaya pakej umrah

MELAKA, 1 APRIL: Seorang penjawat awam dan empat ahli keluarganya mendakwa kerugian lebih RM31,000 selepas gagal menunaikan umrah pada Februari lepas.

Mastura A Ghani, 59, dari Peringgit di sini berkata mereka bersetuju mengambil pakej umrah daripada sebuah syarikat kerana pernah menunaikan ibadah itu pada Ogos tahun lepas menerusi syarikat sama.

“Kerana harga ditawarkan berpatutan, saya dan ahli keluarga bersetuju mengambil pakej tersebut dan membuat bayaran secara ansuran dengan kali terakhir pada 15 Dis lepas,” katanya dalam sidang media di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh Kerk Chee Yee.

Menurutnya surat tawaran umrah dikeluarkan pada 9 Dis tahun lepas namun pada 11 Feb lalu iaitu dua hari sebelum ke Tanah Suci, pengurusan syarikat memaklumkan penerbangan ditunda ke 20 Feb atas alasan penerbangan penuh.

Mastura berkata pengurusan syarikat sekali lagi memaklumkan mereka gagal membuat tempahan tiket dan memohon untuk menunda penerbangan ke tarikh lain.

“Bagaimanapun saya tak dapat terima alasan diberikan pengurusan syarikat ini dan memohon supaya wang dipulangkan kembali kepada kami,” katanya.

Katanya dia membuat laporan polis pada 6 Mac lepas manakala aduan turut dibuat kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada 8 Mac.

Mastura berkata dia difahamkan seramai 21 individu terkesan dengan kes berkenaan yang melibatkan kerugian keseluruhan lebih RM135,000.

Dalam pada itu Kerk berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli sebarang pakej pelancongan atau umrah bagi mengelak ditipu.

– BERNAMA


Pengarang :