Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon esok di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bertempat di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada 26 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK DUN Kuala Kubu Baharu buka tirainya hari ini

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) membuka tirainya hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Bermula 9 pagi, kesemua calon yang bertanding akan menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC) sebelum proses penyerahan kertas penamaan calon ditutup sejam kemudian.

Setakat ini, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan manakala pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN).

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK KKB adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK KKB diadakan susulan kematian Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca diramal baik di sebelah pagi di Kuala Kubu Baharu, manakala ribut petir dan hujan di sebelah petang dan malam.


Pengarang :