DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Masjid Al Ubudiah, Ampang Jaya pada 26 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rumpun Selangor: RMS serah bantuan kepada asnaf, anak yatim

AMPANG, 26 APRIL: Hampir RM70,000 disumbangkan kepada asnaf sekitar Hulu Langat sempena sesi jelajah Rumpun Selangor daerah berkenaan.

Sumbangan Lembaga Zakat Selangor itu disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor di Masjid Al-Ubudiah Kampung Tasek Tambahan turut melibatkan bantuan pembiayaan perubatan.

Dalam majlis sama Tengku Amir Shah diiringi EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkenan menyampaikan duit raya kepada kira-kira 30 anak yatim.

Baginda turut menunaikan solat Jumaat berjemaah selain menyantuni penduduk yang hadir ke program Kenduri Rakyat di pekarangan masjid.

Bermula kelmarin hingga hari ini, Tengku Amir Shah melawat beberapa kawasan antaranya Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasek Tambahan, Ampang dan Laman Medan Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Pelbagai program menarik di setiap lokasi antaranya persembahan silat, tarian, kebudayaan, muzik jalanan, rewang dan santapan kenduri.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini meliputi beberapa agenda antaranya dasar dan lagu perpaduan.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM4.5 juta bagi menjayakan program itu di sembilan daerah dan Hulu Selangor sebagai pembuja tirai.


Pengarang :