Penduduk Palestin melihat kediaman mereka yang musnah dalam serangan Israel, di tengah-tengah gencatan senjata sementara antara Hamas dan Israel, di Khan Younis, Semenanjung Gaza pada 24 November 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Rundingan gencatan senjata disambung Ahad di Kaherah

KAHERAH 7 APRIL: Rundingan untuk mendapatkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza akan bersambung di Kaherah pada Ahad.

Menurut Agensi Anadolu, stesen penyiaran swasta Mesir Al-Qahera News melaporkan perkara itu pada Sabtu memetik sumber Mesir peringkat tinggi yang tidak dinamakan sementara tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa Mesir setakat ini.

Sumber itu berkata Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) Bill Burns, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan seorang wakil dari Israel juga menyertai rundingan itu.

Seorang wakil kanan daripada Kumpulan Hamas yang berpangkalan di Gaza juga dijangka tiba di Kaherah atas jemputan Mesir untuk membincangkan perkembangan berkaitan gencatan senjata di Gaza, menurut laporan itu lagi.

Pada Jumaat, seorang pegawai pentadbiran AS berkata Presiden Joe Biden baru-baru ini mengutus dua surat khas kepada Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani mengenai usaha untuk menyegerakan rundingan gencatan senjata itu, kata media AS, lapor Agensi Anadolu.

Israel melancarkan serangan tentera di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu dengan lebih 33,100 rakyat Palestin maut dan lebih 75,800 cedera selain kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar serta kekurangan barangan keperluan.

Israel juga mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduknya terutama di bahagian utara mengalami kelaparan.

Serangan Israel mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut dengan 60 peratus daripada infrastruktur rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel didakwa melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang pada minggu lalu mengarahkannya meningkatkan usaha bagi mengelakkan kebuluran di Gaza.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :