AGENDANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Enda Ryan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pengasas Sekolah Assunta Datin Paduka Enda Ryan yang meninggal dunia pada Ahad lalu di usia 96 tahun.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mendiang telah banyak menabur bakti dalam bidang pendidikan dan kebajikan di Malaysia sejak tiba di Tanah Melayu pada 1955.

“Mendiang juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Negeri Selangor pada tahun 1990,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Mendiang yang lahir pada 30 Disember 1928, di Galbally, Ireland merupakan pengasas dan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta di Petaling Jaya.

Beliau tiba di Malaya pada tahun 1954 berikutan permintaan oleh Sir Michael Hogan (Ketua Hakim Negara Malaya ketika itu) untuk menubuhkan sebuah sekolah bagi menyediakan akses pendidikan buat kanak-kanak wanita ketika era pemberontakan komunis.

Dia menjadi warganegara Malaysia pada Oktober 1966.

Baginda telah mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) kepada mendiang pada 2007 yang membawa gelaran Datin Paduka di atas jasa dan sumbangan yang dicurahkan.


Pengarang :