AGENDANASIONAL

Sultan ucap takziah, dukacita tragedi helikopter TLDM terhempas

SHAH ALAM, 23 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sedih susulan tragedi nahas helikopter di Lumut, Perak pagi tadi.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Baginda berdukacita atas kejadian menyayat hati ketika Syawal dan ulang tahun ke-90 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, Beta ingin menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan tragedi menyayat hati yang berlaku pada bulan Syawal dan semasa ulang tahun ke-90 TLDM ini.

“Beta juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan keluarga anggota TLDM yang terkorban dan berharap semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” menurut kenyataan itu.

Baginda turut menghargai jasa, bakti dan pengorbanan anggota yang gugur semasa bertugas dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya dan bersemadi dengan aman.

“Sesungguhnya, ini adalah satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara,” jelas kenyataan itu.

TLDM mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.


Pengarang :