Dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jam 9.30 pagi, 23 April 2024. Foto Facebook KPKT Malaysia
AGENDANASIONAL

Tabung Tragedi Lumut 24 diwujudkan, bantu waris mangsa nahas helikopter

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’ bagi memudahkan warga ATM serta orang ramai menghulurkan bantuan kewangan kepada waris keluarga mangsa nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, 23 April lalu.

Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan tabung berkenaan diaktifkan berkuat kuasa hari ini.

Sumbangan boleh dihulurkan secara dalam talian kepada akaun Affin Bank dengan menyatakan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’ atau menerusi cek atas nama ‘Tabung Kebajikan Angkatan Tentera’ dan diserahkan kepada Sel Kebajikan, Cawangan Staf Am, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, nama dan nombor akaun ialah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera 100040001752 (Affin Bank).

Pada 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terkorban selepas dua helikopter terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

– BERNAMA


Pengarang :