Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin berkenan menyampaikan sijil Khatam al-Quran kepada peserta sempena majlis Ihya’ Ramadan Pekawanis 3.0 Khatam Al-Quran Perdana di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 6 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan sampaikan sijil kepada peserta khatam al-Quran

SHAH ALAM, 6 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli hadir ke Majlis Khatam al-Quran Perdana 3.0 di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Ketibaan Baginda pada jam 8.40 pagi disambut oleh Dato’ Seri Amirudin Shari dan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhammad.

Masdiana dalam ucapannya berkata majlis khatam al-Quran yang memasuki siri ketiga tahun ini amat bermakna dengan kehadiran DYMM Tengku Permaisuri Selangor.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin berkenan menyertai bacaan al-Quran bersama sempena majlis Ihya’ Ramadan Pekawanis 3.0 Khatam Al-Quran Perdana di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 6 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Majlis khatam al-Quran Perdana 3.0 ini merupakan salah satu daripada tujuh pengisian program Pekawanis sempena Ramadan dan Alhamdulillah kali ini ia amat istimewa dengan kehadiran DYMM Tengku Permaisuri.

“Majlis ini juga merupakan acara tahunan yang dijalankan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar secara bersemuka dan dalam talian pada setiap hari sepanjang Ramadan.

“Setelah 25 hari kita bertadarus seperti mana Rasulullah bertalaqi bersama malaikat Jibrail, Alhamdulillah hari ini adalah kemuncaknya iaitu majlis khatam al-Quran,” katanya.

Jelas Masdiana, umat Islam amat digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah terutamanya membaca al-Quran pada bulan mulia ini kerana dengan cara itu ia dapat mengubati hati dan rohani.

“Setiap kali kita membaca al-Quran, kita telah diajar oleh Sheikh Abdullah Jahaf untuk melatih rohani untuk sentiasa terhubung dengan Allah seolah-olah Allah sedang berbicara dengan kita melalui kalamnya.

“Inilah pengertian membaca al-Quran dengan tadabbur iaitu tenggelam dalam kasih Allah, bukan dengan cara membaca lalu sibuk dengan bilangan halaman yang dibaca dan memperbanyakkan khatam semata-mata,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor Datin Liliyana Haryanti Dato’ Mohd Harunizam dan Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Selangor Datin Setia Padiah Sapian.

Majlis yang berlangsung kira-kira dua jam itu dimulakan dengan bacaan zikir wirdul latif disusuli majlis dan doa khatam al-Quran yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Jahaf.

Pada majlis sama, Tengku Permaisuri turut berkenan menyampaikan sijil khatam al-Quran kepada peserta lelaki dan wanita.

Dianggarkan kira-kira 500 peserta hadir pada majlis tersebut yang terdiri dalam kalangan ahli Pekawanis dan jemaah dari beberapa daerah di Selangor.


Pengarang :