Hassan Mursalim (kiri), Zainon Abdullah (kanan) dan Lina Musa yang berpakaian tradisi Mah Meri, diperbuat daripada daun nipah, menyalakan pelita seperti panjut dalam tradisi Melayu bagi menghidupkan suasana menjelang Aidilfitri pada malam 25 Ramadan
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Umat Islam bukan Melayu bersama rai Aidilfitri, rencam juadah tradisi

Aidilfitri bukan hanya dirai masyarakat Melayu yang menjadi majoriti penganut Islam negara ini. Umat Islam dari kaum lain termasuk Cina, India dan Orang Asli turut sama menyambut 1 Syawal pada 10 April dengan penuh ceria.

Selain menjalani ibadah puasa, mereka juga memeriahi bulan mulia dengan mengekalkan
corak kebudayaan kaum, selain menyediakan aneka hidangan termasuk makanan tradisi.

Meski meneruskan warisan kaum masing-masing, mereka juga banyak menyerap sebahagian budaya Melayu terutama penyediaan juadah dan pemakaian.

Selangorkini meninjau persiapan dan sambutan Aidilfitri masyarakat Orang Asli di Kuala
Langat, keluarga India di Hulu Selangor dan keluarga Cina di Gombak.

Jurufoto AHMAD ZAKKI JILAN, HAFIZ OTHMAN dan MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN merakam sebahagian kemeriahan berbuka puasa dan sambutan Aidiliftri. Keterangan gambar oleh HAFIZAN TAIB

Mohd Asyraff Muhammad Yusuf, 30, dan isteri Azuren Bohari, 30, menunjukkan manisan ladu, peneram, jilebi dan halwa pada 11 April. Manisan antara juadah masyarakat India bagi merai perayaan
Berpandu resipi turun-temurun daripada bapanya, nasi beriani masakan Normala disediakan untuk tetamu pada hari raya kedua di rumahnya
Normala Abdullah, 55, (kiri) memasak kari ayam sambil dibantu menantunya Azuren untuk pengunjung rumah mereka di Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 11 April
Sebahagian ahli persatuan Cina Muslim MACMA menjamu selera di rumah Sofiah Abdullah (dua, kanan) di Bukit Antarabangsa, Ampang pada 13 April. Hidangan tradisi Cina kekal sebagai juadah pilihan
Memeluk Islam sejak 1980, Suzana Abdullah (kanan) menghulur duit raya kepada beberapa jiran yang bertandang ke rumahnya di Desa Melawati, Gombak pada 1 Syawal
Tetamu termasuk kaum Tionghoa beratur untuk memilih juadah termasuk sate yang dihidangkan Suzana di rumahnya pada hari raya pertama
Sofiah (kanan) dan Jasmin Chong Abdullah menunjukkan dim sum pelbagai perisa termasuk inti ayam dan lada hitam dalam jamuan Aidilfitri yang diadakan secara tahunan sejak lima tahun lalu
Sofiah, sebagai pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Selangor, menunjukkan koci nyonya dan ang ku. Kuih itu mirip koci biasa manakala ang ku diperbuat daripada tepung pulut dan intinya kacang
Suzana menunjukkan kuih tradisi Cina dan Melayu antaranya ang ku, talam, kuih lapis dan lontong di rumahnya di Desa Melawati, Gombak pada 10 April
Selain lemang pulut, Rahim (kanan) dan Hassan membakar ayam perap kari di dalam buluh pada minggu terakhir Ramadan. Lemang adalah makanan tradisi yang popular dalam kalangan Orang Asli dan Melayu
Rahim Sabri (kiri) memasukkan ayam perap kari dan ayam daun semomok ke dalam buluh sambil dibantu Hassan untuk jamuan berbuka puasa yang dihadiri hampir 300 orang. Mereka menganut Islam mulai 2009
Cantik bertudung, kanak-kanak Orang Asli Mah Meri riang bermain bunga api selepas majlis berbuka puasa, lima hari sebelum Syawal. Pengislaman mereka hasil dakwah Jabatan Agama Islam Selangor
Zainon (kiri) menganyam hiasan kepala Orang Asli daripada daun nipah pada 5 April, lima hari sebelum Aidilfitri. Anyaman itu dipakai pada setiap hari perayaan etnik tersebut
Roti puri antara makanan tradisi India yang dihidang Mohd Asyraff di rumahnya di Apartmen Seri Semarak. Beliau memeluk Islam kira-kira 20 tahun lalu

 


Pengarang :