Paparan jadual penerbangan ketika tinjaun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 31 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Warga Malaysia di Asia Barat diminta waspada susulan pembukaan semula ruang udara

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Rakyat Malaysia di Asia Barat iaitu Iran, Iraq, Jordan dan Lebanon diingatkan supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan di negara berkenaan susulan pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula operasi penerbangan di empat negara berkenaan, menurut Kementerian Luar.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Selasa berkata adalah dijangkakan terdapat kemungkinan kelewatan penerbangan apabila operasi disambung semula secara berperingkat dan disesuaikan dengan protokol baharu.

“Pengembara Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan gangguan jadual penerbangan dan disarankan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan telah mengumumkan pembukaan semula ruang udara dan penyambungan operasi penerbangan di negara masing-masing.

Terdahulu, media melaporkan penerbangan di kawasan berkenaan digantung sejak Sabtu selepas Iran melakukan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas kepada pencerobohan Tel Aviv ke atas konsulatnya di Syria awal bulan ini.

– BERNAMA


Pengarang :