Antara aktiviti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sempena Program Ihya’ Ramadan dan Aidilfitri. Foto Facebook YaPEIM bertarikh 5 April 2024
AGENDANASIONAL

YaPEIM peruntuk RM500,000 sumbang baju raya kepada 4,000 penerima

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM500,000 untuk menjayakan sumbangan baju raya Program Qaseh MADANI bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri 4,000 penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM Ameer Ali Vali Mohamed berkata antara penerima ialah anak yatim, asnaf dan golongan B40 dari pelbagai negeri dengan penerima paling ramai dari Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan 1,325 orang serta Kedah dengan 1,092 orang.

“Program Qaseh MADANI bertujuan memberi peluang mereka dapat berhari raya dengan pakaian baharu dan kami berharap sumbangan dapat menceriakan penerimanya,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata program itu juga dijayakan dengan Persatuan Pegawai Eksekutif Hasil Dalam Negeri Malaysia (EXEC).

Menurut Ameer Ali YaPIEM telah mengagihkan lebih RM29.6 juta pada tahun lepas menerusi beberapa program termasuk RM18.1 juta untuk YaPEIM Prihatin yang menumpukan kepada kebajikan dan kelangsungan hidup kumpulan sasar.

Program lain katanya, ialah YaPEIM Niaga sebanyak RM5.7 juta, YaPEIM Sinar Lestari (RM4.2 juta) dan YaPEIM Didik (RM1.7 juta), yang dapat dilaksanakan dengan sumbangan semua pihak ke Tabung Amanah YaPEIM.

Sementara itu, ibu kepada lima orang anak Siti Rahimah Nazruddin, 38, berkata sumbangan baju raya itu sangat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarganya dalam menyediakan keperluan Aidilfitri.

“Di luar, baju Melayu dan samping boleh mencecah RM100. Bantuan yang diberikan boleh mengurangkan beban lebih RM300 kerana tiga anak menerima bantuan hari ini,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :