Wakil Yide (kanan) menyerahkan pek bantuan awal kepada wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kasim untuk diagih kepada 69 mangsa banjir di PPS Surau Taman Setia Warisan pada 18 April 2024. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan
AGENSISELANGOR

Yide agih selimut, baju kepada mangsa bah di DUN Kota Damansara

SHAH ALAM, 19 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan bantuan awal kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Taman Setia Warisan, semalam.

Menurut agensi berkenaan, pek prihatin tersebut diserahkan kepada wakil rakyat Kota Damansara Izuan Kasim untuk diedarkan kepada 69 mangsa yang berlindung di PPS berkenaan.

“Kejadian hujan lebat berpanjangan pada sebelah petang kelmarin menyebabkan limpahan air sehingga saliran longkang tidak dapat menampung jumlah hujan yang turun.

“Bantuan awal yang disalurkan dalam pek prihatin Yide terdiri daripada selimut, tuala, baju, kain pelikat, kain batik dan sebagainya untuk kegunaan mangsa terjejas,” katanya di Facebook.

Yide turut menzahirkan penghargaan kepada penyumbang yang prihatin selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat musibah atau bencana alam di talian 03-33459900 (ibu pejabat Yide).

Dana untuk mangsa musibah boleh disalurkan menerusi pautan https://infaqpay.my/plus/dana-musibah-yide dan layak mendapat potongan cukai bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

 


Pengarang :