16 rakyat Malaysia antara 211 penumpang dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada 21 Mei 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

16 rakyat Malaysia antara penumpang pesawat SIA London-Singapura

SINGAPURA, 22 MEI: Seramai 16 rakyat Malaysia antara 211 penumpang dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok semalam.

SIA dalam kemas kini terkini pada 10.35 malam di Facebook, bagaimanapun tidak menyatakan keadaan mereka.

Terdapat juga 41 penumpang dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (dua), Jerman (satu), India (tiga), Indonesia (dua), Iceland (satu), Ireland (empat), Israel (satu), Myanmar (dua), New Zealand (23), Filipina (lima), Korea Selatan (satu), Sepanyol (dua), dan AS (empat) di dalam penerbangan itu.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn, sebelum ini berkata mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah seorang lelaki Britain berusia 73 tahun.

SIA berkata penerbangan itu menghadapi gelora udara tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok.

Setakat 7.50 malam, 18 individu dimasukkan ke hospital, 12 dirawat di hospital manakala penumpang dan kru yang lain sedang diperiksa dan diberi rawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

“SIA bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam penyiasatan kejadian ini,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia kini bekerjasama dengan rakan sekerja dan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan diperlukan dan pasukan SIA ke Bangkok memberikan pertolongan diperlukan.

Saudara-mara penumpang yang ingin mendapatkan maklumat boleh hubungi talian Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom).

– BERNAMA


Pengarang :