Ahmad Azza Fitri Azhar, 24, menunjukkan gambar terbaru adiknya Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar ketika ditemui media di kediamannya di Jalan Kampung Poh Tambahan 1, Kampung Poh Bidor, Perak pada 18 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Abang hilang rakan bergaduh, teman bergurau, kehilangan adik tidak gugat semangat 

TAPAH, 18 MEI: Walaupun sedih kehilangan adik kandung yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam, ia tidak menggugat semangat Lans Koperal Ahmad Azza Fitri Azhar untuk terus berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Azza Fitri, 24, yang bertugas di Balai Polis Pulau Gaya, Sabah, sebaliknya berkata dia kini semakin bersemangat untuk menabur bakti mempertahankan keselamatan negara serta melindungi masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman.

“Memang sedih lebih-lebih lagi hanya kami berdua lelaki dalam lapan adik-beradik dan sama-sama jadi polis. Sejak awal lagi saya berminat untuk jadi polis sebelum arwah adik ikut jejak langkah saya.

“Tiba-tiba berlaku kejadian tidak diduga ini. Sejurus mengetahui kejadian menimpa arwah saya terus ambil penerbangan dan tiba di kampung petang semalam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Poh Tambahan di sini hari ini.

Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang lelaki menyebabkan dua anggota polis maut, seorang cedera manakala suspek ditembak mati dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei 2024. Foto Facebook BERNAMA

Anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata dia dan arwah adiknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, sangat rapat kerana sejak kecil sering bermain bersama malah mempunyai rakan sama di kampung.

Menurut Ahmad Azza Fitri arwah adiknya itu sangat teruja dengan tugasnya sebagai polis dan setiap hari memaklumkan rutin kerjanya dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

“Nampaknya, selepas ini saya tiada lagi kawan bergaduh dan teman untuk diajak ke mana-mana. Kali terakhir kami berhubung tiga hari lepas menerusi panggilan video, ketika itu kami sembang dan bergurau sahaja.

“Kami sempat berjumpa Ramadan lepas dan merancang sama-sama pulang ke kampung bulan depan namun tidak kesampaian. Ini sebenarnya yang saya takut apabila bekerja jauh dari keluarga,” katanya.

Menurutnya arwah sering berhubung dengan keluarga menerusi WhatsApp dan mesej terakhir yang dihantar adalah ucapan Hari Guru buat bapa mereka yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah, Sungkai.

Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said maut, manakala seorang lagi cedera dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.45 pagi semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga mengesahkan seorang suspek lelaki yang ditembak mati dalam insiden terbabit dipercayai ahli Jemaah Islamiyah.

– BERNAMA


Pengarang :