GOMBAK, 14 MEI: Hampir 5,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima manfaat Jualan Ehsan Rahmah (JER) setakat ini.
Pegawai pusat khidmatnya B Shanmugam berkata sejak Januari hingga hari ini, lebih 10 kali jualan murah dianjurkan terutama di kawasan penduduk berpendapatan rendah.

ketika Jelajah Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 14 MEI 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
“Tiap kali program, lebih 400 penduduk datang membeli dengan sebahagian mereka beratur mulai 7 pagi untuk mendapatkan nombor sebab tak mahu lepaskan peluang membeli.
“Sekarang pun penduduk minta lebih kerap diadakan namun hanya boleh dua kali sebulan. Ayam, beras dan telur antara produk yang mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Beliau ditemui pada program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di padang awam Batu Caves di sini hari ini.
Sementara itu, warga emas R Dewavasu, 76, berkata program berkenaan mampu mengurangkan beban belanja memandangkan ketika ini dia hanya bergantung wang simpanan serta bantuan anak-anak.

“Sekarang sudah tua, tak kerja. Jadi kalau ada jualan ni, memang membantu. Dapat jimat kerana harga lebih murah dari pasaran biasa.
“Hari ini saya beli bekalan lebih sebab nak jamu jiran-jiran. Kalau beli pasar, harga kena dua kali ganda,” katanya.
Pesara Mohd Shahrizuan Kang, 64, mahu program terus diadakan selain kualiti bekalan sentiasa dipantau bagi memastikan penduduk sentiasa mendapat makanan berkualiti dan segar.

“Harga murah berbanding pasaran namun produknya berkualiti. Program ini memang membantu penduduk terutama ada ramai tanggungan, dapat kurangkan beban,” katanya.
JER menawar ayam pada harga RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.
Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri pada tahun lepas.