Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil NXP Malaysia Sdn Bhd ketika majlis makan tengahari sempena pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di Mitec, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Turut sama EXCO Pelaburan Ng Sze Han (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu pacu ekonomi, sektor semikonduktor jamin masa depan negeri

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Selangor bakal menerima pulangan dan pelaburan tinggi hasil penumpuan terhadap semikonduktor termasuk pembangunan pusat reka bentuk litar bersepadu di Puchong.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bidang itu juga menjamin masa depan berikutan penggunaan meluas merangkumi kecerdasan buatan (AI), yang mendapat perhatian ketika ini.

Beliau menjelaskan sektor berkenaan diteroka secara mendalam mulai tahun lalu dan kini masa untuk menjayakannya, sekali gus menjamin peningkatan ekonomi pada masa akan datang.

“Sektor ini mempunyai pasaran meluas di samping pergerakan syarikat dari China yang mahu cari tapak baharu disebabkan beberapa isu dagang. Saya percaya ini beri peluang besar kepada pekerjaan dan peralihan teknologi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis makan tengahari sempena pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di Mitec, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selangor tidak hanya mahukan pelaburan tetapi juga sediakan ekosistem menyeluruh untuk lahirkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan pasaran,” katanya ditemui selepas majlis makan tengah hari sempena pembukaan Ekspo Semicon Asia Tenggara 2024 di sini hari ini.

Beliau turut memberi penghargaan kepada syarikat Neways Electronics Malaysia Sdn Bhd, NXP Malaysia Sdn Bhd dan Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd, yang juga penyumbang terbesar ekonomi negeri.

Pada April, Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat termasuk ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China).

Ia bagi membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor di Puchong yang turut melibatkan kerjasama Phison Malaysia dan SkyeChip.

Bakal dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor mulai Jun, pusat itu mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion selain bakal membuka peluang kerjaya dengan tawaran gaji mencecah RM7,000.


Pengarang :