AGENDANASIONAL

Bantuan subsidi, pemilik kenderaan diesel golongan B40, M40 layak mohon

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI, mulai esok (28 Mei).

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu, boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

“Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori, akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan memaklumkan, pelaksanaan itu susulan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas, berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung.

Menurut kenyataan itu kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu ialah, pemohon merupakan warganegara Malaysia; memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.

 

– BERNAMA


Pengarang :