Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Bekas mufti Mesir hurai kitab Hadis 40 secara talaqqi

SHAH ALAM, 21 MEI: Bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab bakal mengupas Kitab Hadis 40 karya Imam An-Nawawi dalam Festival Turath Islami Selangor.

Pengarah Sekretariatnya Farhan Affandi memberitahu orang ramai berpeluang mengaji kitab tersebut dari ulama terkenal dunia itu dalam program Daurah Hadis 40 secara talaqqi.

“Prof Dr Ali Jum’ah akan membaca kitab dan menghurai satu-persatu isinya (Hadis 40). Beliau akan memimpin 12 sesi pengajian untuk melengkapkan pembacaan dan huraian seluruh 42 hadis.

“Sesi pengajian diselang-seli ulasan tokoh agama antaranya Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dan tokoh ulama Pattani Baba Ghazali Ahmad,” katanya kepada Selangorkini.

Farhan menambah Prof Dr Ali Jum’ah antara tokoh yang menghidupkan pengajian kitab secara talaqqi sejak 1998 di masjid Kaherah di Mesir meski bergelar pensyarah Universiti Al-Azhar.

“Ini kerana bagi beliau (Prof Dr Ali Jum’ah), sistem tradisional memberi kefahaman lebih mendalam kepada murid-murid berbanding sistem yang diamalkan di universiti.

“Dr Ali mahu meneruskan tradisi membaca dan menggali ilmu dalam kitab klasik dengan cara memahami sebagaimana ia ditulis, bukan dengan cara mengikut pemahaman seseorang,” katanya.

Festival anjuran Kerajaan Selangor mulai 26 Mei hingga 2 Jun itu menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Kementerian Pendidikan menjadi Hadis 40 teks pengajian sekolah menengah. Karya ulama hadis dan pakar fikah mazhab Syafie itu menghimpunkan 42 hadis meliputi perkara usul dan sendi agama.

Himpunan ini mencakupi sudut akhlak, akidah, hukum dan amal soleh. Karya beliau diterjemah, dihafal dan dipelajari dalam pelbagai bahasa di universiti, masjid, pondok dan pesantren di seluruh dunia.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman web www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor

 


Pengarang :