Bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis Doa Selamat dan Kesyukuran di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekas mufti Mesir serikan majlis doa selamat di kediaman rasmi MB

SHAH ALAM, 29 MEI: Majlis doa selamat dan kesyukuran yang berlangsung di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar malam ini diserikan dengan kehadiran bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit menyampaikan tazkirah mengenai Fiqh Nasihah atau Agama Itu Nasihat kepada kira-kira 200 hadirin yang hadir.

Katanya intipati fiqh nasihah antaranya berkait keikhlasan dalam beribadah, mentaati serta menjauhi larangan Allah selain menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup kepada semua golongan sama ada pemimpin atau rakyat.

Selain itu katanya, fiqh nasihah juga merangkumi semua perkara baik yang dilakukan untuk kebaikan seperti membawa kemajuan atau peningkatan kepada kecemerlangan negara atau negeri untuk manfaat rakyat.

Terdahulu, majlis turut disertai Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba kira-kira jam 7.15 malam.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, solat sunat hajat dan Isyak berjemaah, bacaan yasin, doa selamat serta jamuan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop.


Pengarang :