Antara orang ramai yang hadir pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N.06 Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali pada 03 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ceramah Mega Perpaduan meriah, ratusan pengundi hadir beri sokongan

HULU SELANGOR, 3 MEI: Ratusan pengundi hadir memeriahkan Ceramah Mega Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Bandar Utama Batang Kali di sini, malam ini.

Ceramah kempen sulung Kerajaan Perpaduan itu dihadiri penduduk setempat pelbagai bangsa termasuk golongan muda sebagai tanda sokongan kepada gabungan parti politik itu.

Majlis bermula 9 malam itu menampilkan beberapa pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN) antaranya Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Pada PRK DUN KKB yang berlangsung 11 Mei ini, Kerajaan Perpaduan mencalonkan Pang Sock Tao, 31, yang akan dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac lalu.

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

 


Pengarang :