Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh. Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
AGENDAJENAYAH

Dalang seludup manusia tumpas, lapan warga asing ditahan

PUTRAJAYA, 18 MEI: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan manusia selepas menahan lapan warga Bangladesh dalam operasi di sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata pasukan operasi diatur gerak ke premis itu pada hari berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima, dan bertembung dengan Perodua Myvi dipandu suspek di lot parkir.

“Suspek memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas. Hasil pemeriksaan pasukan operasi menahan seorang lelaki Bangladesh yang disyaki sebagai ‘transporter’ berusia lingkungan 33 tahun bersama dua pendatang tanpa izin warga Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata seterusnya hasil pemeriksaan di kediaman itu pasukan operasi menahan lima pendatang warga Bangladesh yang didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada dalam negara.

Menurutnya pasukan operasi merampas 10 pasport Bangladesh, tiga telefon bimbit, wang tunai RM500 dan Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk membawa pendatang tanpa izin berkenaan.

Ruslin berkata modus operandi sindiket adalah dengan membawa pendatang tanpa izin terutamanya warga Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan secara haram di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam, dan dari Vietnam mereka ke Thailand menerusi jalan darat.

“Seterusnya mereka dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan dan ‘transporter’ warga tempatan pula membawa mereka ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.

“Mereka dihantar ke lokasi dipilih sendiri setelah selesai membuat bayaran kepada agen warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia. Hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan bayaran RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap seorang dan kegiatan ini dikesan beroperasi selama dua bulan,” katanya.

Beliau berkata ‘transporter’ berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala yang lain ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

– BERNAMA


Pengarang :