BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dana RM100 juta untuk pendidikan Islam, kebajikan guru agama terbela

Selangor sangat mengambil berat pendidikan Islam anak negeri, membelanjakan lebih RM180 juta setahun untuk kemajuan sekolah dan kebajikan guru sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Jumlah gaji, elaun dan imbuhan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tahun lepas sebanyak RM72.3 juta, tidak termasuk gaji guru kontrak RM11.6 juta dan emolumen guru Kafa RM2 juta.

Peruntukan mengurus Jais bagi 2023 kira-kira 64 peratus daripada RM280 juta peruntukan mengurus Jais.

Dengan jumlah peruntukan tersebut, pendidikan agama di Selangor mendapat sambutan hangat ibu bapa, khususnya di sekolah yang menawarkan program integrasi dan cemerlang.

Kejayaan seperti ini pastilah hasil peruntukan mengurus yang semakin meningkat daripada RM96.2 juta pada 2018, RM96.6 juta (2020) dan RM102.3 juta (2022). Dana ini bagi menampung pelbagai jenis pendidikan agama di beberapa tahap di sembilan daerah.

Setakat tahun lalu, Jais mengendalikan 576 sekolah dalam enam kategori sejak prasekolah hingga Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS). Kategori lain, Kafa Integrasi (Kafa-i), Sekolah Rendah Agama (SRA), SRA Integrasi (SRAI) dan Sekolah Agama Menengah (SAM).

Kebanyakan sekolah ini berada di daerah Petaling (117 buah), Hulu Langat (102), Gombak (80), Klang (63) dan Kuala Selangor (57).

Peruntukan besar itu digunakan untuk menjaga kebajikan 8,102 guru sekolah agama yang sebahagian besar berada di Petaling (1,560 orang), Hulu Langat (1,315), Klang (1,214), Gombak (940) dan Kuala Selangor (786).

Jumlah ini tidak termasuk 1,718 orang guru rakyat di semua jenis sekolah.

Pada 2023, mereka memberikan khidmat cemerlang mendidik 263,017 murid yang sebahagian besarnya berada di Petaling (55,801 orang), Klang (43,275), Hulu Langat (43,047), Gombak (33,035) dan Kuala Langat (22,105).

Jumlah di atas tidak termasuk 902 sekolah agama swasta dengan 7,616 guru dan 77,353 orang murid.

Kerajaan Negeri tahun lepas merancang melantik 656 guru Kafa dalam tempoh lima tahun dengan dana RM14.6 juta.

Manfaat KWSP, Perkeso

Dalam Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menaikkan elaun guru Kafa kepada RM1,500, setaraf gaji minimum yang diwajibkan Kerajaan.

Langkah baharu itu yang menelan perbelanjaan RM4.8 juta bakal memanfaatkan lebih 2,800 guru yang sebelum ini dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

Kerajaan Negeri sebelum itu memperkenal caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang memanfaatkan 4,200 guru. Selangor turut menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebanyak RM5 juta setahun diluluskan pada 2022 dan 2023 sebagai subsidi bayaran yuran pelajar RM30 sebulan kepada Kafa-i.

Bantuan ini dinikmati murid di 296 Kafa-i, sekali gus membantu menyelesaikan tunggakan yuran bulanan membabitkan 14,000 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Berikut reaksi dua guru yang ditemubual pada 24 Mac 2023, yang mendapat manfaat usaha Kerajaan Negeri:

Muhammad Nur Anuar, guru Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya

“Saya bersyukur usaha Kerajaan Negeri membantu kami, saya dahulu elaun RM300 kemudian naik kepada RM660 dan sekarang RM1,500.

“Sebelum ini pun kami ‘kurang dipandang’ dan sekarang dapat pelbagai insentif seperti bantuan khas Aidilfitri dan hujung tahun, namun masih ada ruang boleh ditambah.”

Norlinawati Ibrahim, guru Kafa-i Sungai Kapar Indah, Klang

“Saya melihat pengurusan untuk kebajikan guru sekolah agama semakin baik dan bersistematik berbanding dahulu, bukan sahaja dari segi elaun yang naik kepada RM1,500.

“Macam-macam kemudahan seperti cuti khas dinikmati penjawat awam, dahulu elaun masuk cek sekarang mudah dimasukkan terus ke akaun bank…jadi tidak perlu susah payah ke pejabat.”

 

 


Pengarang :