Calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao bersama Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh bergambar bersama ketika program singgah perlawanan persahabatan bola keranjang di gelanggang bola keranjang Ulu Yam Lama, Hulu Selangor pada 2 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dewan Negeri Selangor perlu lebih ramai wakil rakyat muda, bawa idea baharu

HULU SELANGOR, 3 MEI: Dewan Negeri Selangor (DNS) memerlukan lebih ramai wakil rakyat dalam kalangan anak muda untuk membawa idea baharu, kata bekas speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Hannah Yeoh berkata DNS mempunyai ruang secukupnya untuk anak muda menyuarakan pandangan dan membawa isu di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh bercakap kepada media selepas program singgah perlawanan persahabatan bola keranjang di gelanggang bola keranjang Ulu Yam Lama, Hulu Selangor pada 2 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Apabila anak muda dilantik sebagai wakil rakyat, golongan ini mampu membawa suara dan idea baharu. Sebagai bekas speaker, saya tahu dinamiknya dewan Selangor dan perlukan pemimpin muda untuk lakukan kerja-kerja wakil rakyat.

“Oleh itu, calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao mampu meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong yang banyak menganjurkan aktiviti bersifat sukan dan kebudayaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada program singgah perlawanan bola keranjang bersama calon Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu di gelanggang bola keranjang Ulu Yam Lama. Turut hadir, Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Terdahulu, kehadiran Sock Tao, 31, bersama Hannah Yeoh disambut meriah dengan tepukan penduduk termasuk golongan belia yang mengadakan perlawanan persahabatan anjuran MPKK Kampung Stesyen Hulu Yam Lama.

Calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh melakukan gimik pelancaran perlawanan persahabatan bola keranjang di gelanggang bola keranjang Ulu Yam Lama, Hulu Selangor pada 2 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao bersama Pengerusi DAP Lim Guan Eng beramah mesra bersama penduduk ketika program singgah perlawanan persahabatan bola keranjang di gelanggang bola keranjang Ulu Yam Lama, Hulu Selangor pada 2 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :