Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ketika mengumumkan untuk bertanding sekali lagi bagi jawatan sama pada pilihan raya presiden AS 2024 di Palm Beach, Florida pada 15 November 2022. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Donald Trump bersalah atas 34 pertuduhan palsu rekod niaga

HOUSTON (Amerika Syarikat), 31 MEI: Donald Trump didapati bersalah semalam atas semua 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan oleh juri New York, menjadikan beliau bekas presiden Amerika Syarikat (AS) pertama disabitkan dengan tuduhan jenayah, lapor Agensi Anadolu (AA).

Barisan 12 juri mencapai keputusan mereka selepas dua hari perbincangan, mendapati Trump bersalah memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran wang US$130,000 yang dibuat kepada bintang filem porno Stormy Daniels untuk mengelakkan ceritanya daripada diterbitkan ketika pilihan raya presiden 2016 dan memasukkannya sebagai perbelanjaan perniagaan.

Trump meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan itu sebaik sahaja meninggalkan mahkamah.

“Hak sivil saya benar-benar dilanggar dengan keputusan yang tidak adil bermotifkan politik, tidak berperlembagaan dan mengganggu pilihan raya ini. Negara kita yang gagal ditertawakan di seluruh dunia!” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya.

Kini setelah didapati bersalah, Trump perlu meyakinkan rakyat Amerika bahawa beliau layak untuk penggal kedua di Rumah Putih.

Pilihan raya presiden 2024 akan diadakan pada 5 November. Hukuman Trump ditetapkan pada 11 Julai.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :