Pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Ismail, Johor Bahru dipenuh pegawai dan anggota polis susulan kejadian serangan maut terhadap dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram, pada 17 Mei 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua anggota polis terbunuh, seorang cedera, lelaki ceroboh Balai Polis Ulu Tiram

JOHOR BAHRU, 17 MEI: Dua anggota polis terbunuh seorang cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram, di sini jam 2.54 pagi tadi.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, yang turut memaklumkan suspek ditembak mati di lokasi.

Beliau berkata, dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.

“Siasatan awal mendapati anggota polis ditetak dan ditembak. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, lapor Berita Harian.

Difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai jam 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.

Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.


Pengarang :