Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang lelaki menyebabkan dua anggota polis maut, seorang cedera manakala suspek ditembak mati dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua pelajar dibebaskan, lima sekeluarga masih disiasat kes serang balai polis

JOHOR BAHRU, 22 Mei: Dua pelajar yang ditahan susulan insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram Jumaat lalu sehingga mengakibatkan dua anggota polis dan seorang suspek maut dibebaskan tanpa syarat semalam.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata pelajar lelaki sebuah kolej swasta berusia 22 tahun dan pelajar wanita sebuah institusi latihan berusia 21 tahun itu dibebaskan setelah pihaknya mendapat arahan pejabat Peguam Negara.

“Kedua-dua pelajar yang ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibebaskan tanpa syarat setelah mendapat arahan pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata siasatan terhadap lima anggota keluarga suspek yang direman sehingga 24 Mei ini masih diteruskan.

Kumar turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau memanipulasi fakta menerusi komen di media sosial berkaitan insiden itu sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan polis.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi Jumaat, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang lelaki bertopeng bersenjatakan parang manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Susulan itu, tujuh individu ditahan reman termasuk lima anggota keluarga suspek bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :