Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kapasiti hospital mampu menampung, rawat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 31 MEI: Kapasiti hospital dalam pengurusan kes Covid-19 di negeri ini mencukupi serta mampu menampung serta merawat pesakit.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata meskipun terdapat sedikit tren peningkatan kes itu di negeri ini bagi tempoh 28 April hingga 5 Mei lalu namun tiada pesakit kritikal ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

“Tiada kematian dilaporkan sejak 20 Mac lalu dan untuk makluman kapasiti hospital pengurusan kes Covid-19 mencukupi serta mempunyai keupayaan menampung dan merawat pesakit.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 6 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan terhadap kesan gelombang peningkatan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jamaliah menjelaskan golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, obesiti, sakit jantung dan ibu mengandung digalak mendapatkan vaksinasi tambahan sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan selepas dos terakhir diterima.

“Berdasarkan kajian, 16 kes kematian akibat Covid-19 di Selangor bagi tahun ini mendapati masing-masing 70 peratus terdiri dalam kalangan warga emas dan ko-morbiditi dan 62 peratus yang tidak pernah atau tidak lengkap vaksin.

“Justeru, sebagai langkah pencegahan, warga Selangor dinasihatkan terus mematuhi garis panduan kesihatan ditetapkan KKM termasuk mengamalkan kebersihan dan memakai pelitup muka di tempat sesak,” katanya.

Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan negara itu sedang mengalami gelombang baharu Covid-19, dengan peningkatan kes jangkitan dua minggu lepas.

Menteri Kesihatannya Ong Ye Kung berkata kes Covid-19 tersebut di bahagian permulaan gelombang, di mana ia dijangka memuncak dalam dua hingga empat minggu akan datang.

Memetik laporan The Straits Times, kementerian itu menganggarkan jumlah kes Covid-19 pada 5 hingga 11 Mei meningkat kepada 25,900 kes, berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.


Pengarang :