Mohamad Faisal Abdul Halim. Foto Facebook Selangor FC
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Faisal Halim tunjuk tanda kesembuhan positif, rawatan berjalan lancar

KOTA BHARU, 18 MEI: Pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim, kini menunjukkan tanda-tanda kesembuhan yang positif.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata proses rawatan pemain sayap sensasi berkenaan, ketika ini berjalan lancar dan baik.

“Kita bagi ruang kepada beliau (Faisal Halim) untuk kesembuhan dan setakat ini lawatan ke atasnya juga agak terhad dan hanya keluarga serta pihak pengurusannya, dibenarkan untuk melawat.

“Kementerian saya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan Faisal untuk sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Adam berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tahap perkembangan kesihatan Faisal Halim, pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2024, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim (tengah) ketika sesi bergambar selepas perasmian Hari Belia Negara 2024 peringkat Kelantan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada 18 Mei 2024. Foto BERNAMA

Beliau berkata masih terlalu awal untuk menakrifkan Faisal Halim pulih sepenuhnya.

“Pemulihan beliau sedang berlaku dan kementerian saya bersama rakan-rakan strategik ISN, sedia membantu Faisal Halim daripada segi fisioterapi dan rehabilitasi di ISN (Institut Sukan Negara), sekiranya beliau perlukan,” katanya.

Pada 5 Mei, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan, selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, yang membataskan pergerakan dan percakapannya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari itu, dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bola sepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu selepas itu, apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim Safiq Rahim, dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada 7 Mei.

– BERNAMA


Pengarang :